Nabi Zakaria, ayahnya Nabi Yahya sedar dan mengetahui
bahawa anggota-anggota keluarganya, saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya
dan anak-anak saudaranya adalah orang-orang jahat Bani Israil yang
tidak segan-segan melanggar hukum-hukum agama dan berbuat maksiat,
disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka belum meresap betul didalam
hati mereka, sehingga dengan mudah mereka tergoda dan terjerumus ke
dalam lembah kemungkaran dan kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya tiba
dan meninggalkan mereka tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan
pimpinannya atas kaumnya, bahawa mereka akan makin rusak dan makin
berani melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka
mengadakan perubahan-perubahan di dalam kitab suci Taurat dan
menyalah-gunakan hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria
disamping rasa sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia
sembilan puluh tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan seorang anak
yang ia idam-idamkan untuk menjadi penggantinya memimpin dan mengimami
Bani Isra’il. Ia agak terhibur dari rasa sedih dan kekhuatirannya semasa
ia bertugas memelihara dan mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai
anak kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginanya yang
kuat untuk memperolhi keturunan tergugah kembali ketika ia menyaksikan
mukjizat hidangan makanan dimihrabnya Maryam. Ia berfikir didalam
hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan Allah.
Allah yang telah memberi rezeki kepada Maryam dalam keadaan seorang diri
tidak berdaya dan berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan bila
Dia kehendaki walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah penuh
uban.
Pada suatu malam yang sudah larut duduklah Zakaria di
mihramnya menghiningkan cipta memusatkan fikiran kepada kebesaran Allah
seraya bermunajat dan berdoa dengan khusyuk dan keyakinan yang bulat.
Dengan suara yang lemah lembut berucaplah ia dalam doanya: “Ya Tuhanku
berikanlah aku seorang putera yang akan mewarisiku dan mewarisi
sebahagian dari keluarga Ya’qub, yang akan meneruskan pimpinan dan
tuntunanku kepada Bani Isra’il. Aku khuatir bahawa sepeninggalanku nanti
anggota-anggota keluargaku akan rusak kembali aqidah dan imannya bila
aku tinggalkan mati tanpa seorang pemimpin yang akan menggantikan aku.
Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku telah dipenuhi
uban sedang isteriku adalah seorang perempuan yang mandul namun
kekuasaan-Mu adalah diatas segala kekuasaan dan aku tidak jemu-jemunya
berdoa kepadamu memohon rahmat-Mu mengurniai kau seorang putera yang
soleh yang engkau redhai.”
Allah berfirman memperkenankan permohonan Zakaria:
“Hai Zakaria Kami memberi khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh
seorang putera bernama Yahya yang soleh yang membenarkan kitab-kitab
Allah menjadi pemimpin yang diikuti bertahan diri dari hawa nafsu dan
godaan syaitan serta akan menjadi seorang nabi.”
Berkata Zakaria: “Ya Tuhanku bagaimana aku akan memperolehi anak
sedangkan isteri adalah seorang perempuan yang mandul dan aku sendiri
sudah lanjut usianya.”
Allah menjawab dengan firman-Nya: “Demikian itu adalah
suatu hal yang mudah bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan engkau
padahal engkau di waktu itu belum ada sama sekali?”
Berkata Zakaria: “Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda bahawa isteri
aku telah mengandung.” Allah berfirman: “Tandanya bagimu bahawa engkau
tidak dapat berkata-kata dengan manusia selama tiga hari berturut-turut
kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah nama-Ku sebanyak-banyaknya serta
bertasbihlah diwaktu petang dan pagi hari.”
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan
oleh Al-Quran kecuali bahawa ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia masih
kanak-kanak dan bahawa ia seorang putera yang berbakti kepada kedua ora
ng tuanya dan bukanlah orang yang sombong durhaka. Ia terkenal cerdik
pandai, berfikiran tajam sejak ia berusia muda, sangat tekun beribadah
yang dilakukan siang dan malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan
badannya dan menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya
cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai
soal-soal keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat
bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian dalam
mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula
menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran
dan melawan kebathilan.
Ia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat
dari dosanya. Dan sebagai tanda taubatnya mereka dipermandikan {
dibaptiskan } di sungai Jordan, kebiasaan mana hingga kini berlaku di
kalangan orang-orang Kristian dan kerana Nabi Yahya adalah orang pertama
yang mengadakan upacara itu, maka ia dijuluki “Yahya Pembaptis”.
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa Palestin pada waktu
itu mencintai anak saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang gadis
yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan ramping dan berhasrat ingin
mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya dan seluruh anggota keluarga
menyentujui rencan perkahwinan itu, namun Nabi Yahya menentangnya dan
mengeluarkan fakwa bahawa perkahwinan itu tidak boleh dilaksanakan
kerana bertentangan dengan syariat Musa yang mengharamkan seorang
mengahwini anak saudaranya sendiri.
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta
fatwa Nabi Yahya yang melarangnya tersiar di seluruh pelosok kota dan
menjadi pembicaraan orang di segala tempat di mana orang berkumpul.
Herodia si gadis cantik calon isteri itu merasa sedih bercampur marah
terhadap Nabi Yahya yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan
perkahwinannya dengan bapa saudaranya sendiri, fatwa mana telah membawa
reaksi dan pendapat dikalangan masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa
bapa saudaranya Herodus calon suami dapat terpengaruh oleh fatwa Nabi
Yahya itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang sudah dinanti-nanti
dan diidam-idamkan, bahkan bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa
pakaian mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah
disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu,
Herodia tidak tinggal diam. Ia berusaha dengan bersenjatakan
kecantikkan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa saudaranya calon
suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan menurut rencana. Dengan
merias diri dan berpakaian yang merangsang, ia pergi mengunjungi bapa
saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya Herodus
kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak lebih cantik daripada
biasa : “Hai manisku, apakah yang dapat aku berbuat untukmu. Katakanlah
aku akan patuhi segala permintaanmu, kedatanganmu kemari pada saat ini
tentu didorong oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau
sampaikan kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku,
aku sedia melayani segala keperluan dan keinginanmu.”
Herodia menjawab: “Bila Tuan Raja berkenan, maka aku
hanya mempunyai satu permintaan yang mendorongku datang mengunjungi
Tuanku pada saat ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah kepala Yahya
bin Zakaria orang yang telah mengacau rencana kita dan mencemarkan nama
baik Tuan Raja dan namaku sekeluarga di segala tempat dan penjuru.
Supaya dia dipenggal kepalanya. Alangkah puasnya hatiku dan besarnya
terima kasihku, bila Tuanku berkenan meluluskan permintaanku ini”.
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan hatinya oleh kecantikan dan
keelokan Herodia tidak berkulik menghadapi permintaan calon isterinya
itu dan tidak dapat berbuat selain tunduk kepada kehendaknya dengan
mengabaikan suara hati nuraninya dan panggilan akal sihatnya.
Demikianlah maka tiada berapa lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria
berlumuran darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang
tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa hasratnya membalas dendam
terhadap Yahya telah terpenuhi dan rintangan utama yang akan menghalangi
rencana perkahwinannta telah tersingkirkan, walaupun perbuatannya itu
menurunkan laknat Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan Bani Isra’il
seluruhnya.
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas
dikisahkan oleh Al-Quran, surah Maryam ayat 2 sehingga ayat 15, surah
Ali Imran ayat 38 senhingga ayat 41 dan surah Al-Anbiya’ ayat 89
sehingga ayat 90.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar